sayangilah diri kita sebelum orang menyayangi kita

Selasa, 26 Januari 2010

TERKENANG


Pernah lihat atau makan buah ni?
Sorong papan tarik papan,
Buah KERANJI di dalam perahu,
Suruh makan, dia makan,
Suruh makan dia tak mahu.

Haa.. kalau nak tahu, inilah buah keranji. Kalau sebelah pantai timur bukan sesuatu yang pelik, kerana biasa ditemui. Sejak saya menetap di Johor ni, tak pernah saya jumpa buah ni lagi. Masa kecik-kecik dulu, biasa makan kat bawah pokoknya lagi. Balik dari sekolah, singgah tepi jalan dengan kawan-kawan. Buat apa? Pungut buah keranji ni lah. Rasanya masam-masam manis. Isinya yang berwarna jingga memang menarik. Tapi isinya memang tak banyak. Buat tahi gigi je...
Sekarang kat tempat saya di Pahang pun dah tak jumpa pokoknya lagi. Satu lagi, pokok buah berangan kampung. Dulupun, kalau musim, saya dan kawan-kawan akan menunggu di bawah pokok berangan tu, menunggu buah berangan gugur/ pecah. Dah dapat kumpulkan, bawa balik suruh mak masak. Mak akan masakkan dengan menggorengnya dengan sedikit air garam .

Sekarang memang tak pernah jumpa lagi. Pokoknya pun dah pupus agaknya. Berangan yang dijual di tepi jalan sekarang ni besar-besar, tapi diimport. Rasanyapun tak sesegar yang tempatan. Bilalah saya dapat merasa yang macam dulu tu lagi........



Ini pula buah asam jawa. Buahnya besar-besar. Isinya manis sekali. Ye la..namanyapun asam jawa madu. Buah ni masih banyak ditemui. Buah-buah ni saya beli semasa saya berkursus di Kuala Terengganu tempoh hari. Bukannya apa, cuma terkenang makanan yang pernah dimakan dulu dan juga nak kenalkan dengan anak-anak. Anak-anak saya memang tak pernah tengokpun buah keranji tu. Makan apa tah lagi.
Akhirnya, lepas dua tiga hari terbiar di atas meja, saya jugalah yang menghabiskannya....

Rabu, 13 Januari 2010

TERIMA KASIH ATAS JASAMU

Sekian lama kita bersama
Susah senang ditempuhi
Suka duka sama dirasai
Bila kau tiada di sini
Tidak bermakna kau tiada di hatiku
Bila kita tidak bersama
Bukan bererti tidak mesra
Bila tidak bertemu lagi
Maka kita menikmati rasa rindu
Hadirmu selama ini
Memberi seribu kenangan manis
Kenangan yang pasti tidak akan mati
Terima kasih atas jasamu...sayangku
Van rasmi volkswagen kesayangan keluargaku.



Jasamu kami kenang ke akhir hayat.

Jumaat, 8 Januari 2010

MULA BERTUGAS

Minggu pertama sudah berlalu. Tahun ini sekolah saya hanya ada satu sesi sahaja. Memang agak sibuk, maklumlah nak uruskan 2 orang anak yang bersekolah bersama saya. Pertama sekali tentulah nak menyesuaikan diri dengan rutin yang baru. Bangun pagi pukul 5, masak lauk dan sarapan. Siapkan anak-anak (Tahun 1 dan Pra). Memang nak kena setkan masa betul-betul, kena on time , sebab jika lewat jalan akan jem dan mengakibatkan kelewatan ke sekolah. Selepas sesi persekolahan 1.20, siapkan anak untuk ke sekolah agama pula. Kelasnya bermula 2.00 petang hingga 3.30 petang. Kelam kabut juga dibuatnya. Sementara menunggu waktu dia balik, jadilah saya penunggu di sekolah. Sekolahku, rumahku.

Semalam saya menerima panggilan telefon dari PPD . Berita yang disampaikan memaksa saya membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan keluarga. Jika suatu waktu dulu, saya sanggup menerimanya, tapi dengan situasi sekarang saya rasa agak sukar untuk saya menerimanya. Keluarga tetap diutamakan. Bukan rezeki sayalah agaknya.........

Jumaat, 1 Januari 2010

TAHUN BARU 2010

Wah!! Dah tahun baru rupanya hari ni. Dulu-dulu orang sibuk fasal azam baru bila tahun baru menjelma. Sekarang dah tak gah cam gitu. Gawat agaknya. Kalau zaman dulu, tahun baru, mulalah nak cari diari baru. Kononnya, nak catat azamlah. Nak beli baju baru, beg baru .Pendek kata, serba baru.Sekarang dah tak boleh fikir benda-benda macam tu lagi. Keutamaan adalah kepada keperluan sekolah anak-anak. Zaman ni duit macam air. Macam-macam keperluan nak dibeli.

Seminggu dua ni sibuk dengan membeli kelengkapan sekolah. Baju sekolah, kasut sekolah, alat tulis dan macam-macam benda lagi. Lebih mudah membeli untuk anak-anak yang masih kecil. Mereka tak memilih jenama. Cuma kalau beg tu mereka mungkin tertarik dengan watak-watak kartun yang diminati. Yang besar-besar ni yang cerewet sikit. Pergi 2 , 3 kedaipun belum tentu dapat barang yang diingini. Nak yang mahal pulak tu. Apa nak buat. Tahun ni, kesemua anak saya bersekolah.

Seminggu sebelum sekolah dibuka, semua guru dah sibuk bermesyuarat. Masa inilah dapat tahu jawatan apa yang dipegang untuk tahun baru. Tahun ni saya diamanahkan memegang 5 jawatan setiausaha. Kalau difikirkan memang terasa berat. Cuba buat yang termampu. Kalau dah diberi jawatan tu maknanya orang percayakan kita.

Hari ni hari pembayaran yuran dan sebagainya di sekolah. Mendaftarkan anak di Tahun 1, Pra dan sekolah agama saja dah hampir RM500. Itulah hakikatnya.

Apa-apapun, selamat menyambut tahun baru untuk semua. Semoga tahun ini kita dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan dan tercapai segala cita-cita.

Isnin, 21 Disember 2009

KEKABU

Kekabu? Tahu tak apa bendanya tu? Haa..kalau anak saya memang langsung tak tahu. Tak pernah tengok. Jadi cuti sekolah ni saya memperkenalkan ' kekabu ' kepada anak-anak saya. Kebetulan pula cuti kali ni tengah musim kekabu.



Pokok kekabu.


Pokok kekabu ini kebanyakannya sudah terlalu tinggi. Penat juga nak menjoloknya.OK. Untuk yang belum mengetahuinya, buah kekabu membekalkan 'kekabu' . Kekabu ini pula digunakan untuk mengisi bantal. Sifatnya yang seperti kapas memang sesuai dibuat bantal.

Buah kekabu

Isi kekabu

Inilah kekabu yang dikeluarkan.

Biji kekabu yang perlu dibuang. Biji yang tua berwarna hitam.

Kekabu yang dikeluarkan ini akan dikumpulkan untuk dibuang bijinya. Di sinilah cabarannya bermula. Membersihkan kekabu lebih mudah semasa isinya masih basah dan tidak terlalu kering. Sekiranya isinya terlalu kering , kekabu ini akan berterbangan masuk ke lubang hidung. Kekabu yang telah bersih ini akan dimasukkan ke dalam bekas kain seperti guni untuk dijemur.
Apabila ianya telah benar-benar kering, barulah ianya dijadikan bantal. Harganya di pasaran kini ialah RM19 bagi sebiji bantal saiz standard. Bantal kekabu sangatlah selesa kerana sifatnya yang sejuk dan lembut, berbanding bantal span.

Rabu, 16 Disember 2009

NOSTALGIA

Cuti sekolah dah mengampiri empat minggu. Tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi untuk bercuti sebelum sekolah dibuka. Seminggu akhir dah kena bertugas sebagai persediaan untuk tahun 2010.


Seperti biasa cuti yang panjang kenalah bawa anak-anak bercuti. Kami balik Pahang seminggu pada minggu lepas. Biasalah kenderaan rasminya ialah van antik tu. Janji sampai.


Kali ni , aktiviti dipenuhkan dengan melawat sekolah-sekolah lama saya di sana. Sekolah pertama saya ialah SK Temau. Saya bermula dengan menumpang di Tahun 1 semasa berumur 6 tahun. Cikgu yang mengajar saya yang saya masih ingat ialah Cikgu Zaharah. Kami masih lagi berhubung masa ini. Beliau tinggal di Sega. Sekolah ini sedang dinaik taraf. Satu blok 3 tingkat sedang dibina di kawasan belakang sekolah. Kelas saya semasa Tahun 1 dahulu dah dijadikan kelas Pra. Bangunan lama masih digunakan.


Kelas Tahun 1 dahulu dijadikan kelas Pra.


lencana sekolah



Seterusnya saya bersekolah di SK Dong di Tahun 1. Sekolah itu kini telah ditukar nama kepada SK Muhammad Jabar. Sekolah ini juga telah dinaik taraf. Tiada lagi bangunan lama. Di sekolah ini saya bersekolah sehingga Tahun 3. Tahun 4 dan 5 saya bersekolah semula di SK Temau. Tahun 6 bertukar semula ke SK Dong.



Persekolahan menengah saya bermula di SMK Dong sehingga Tingkatan 3. Selepas SRP saya meneruskan pembelajaran di SMK Tengku Kudin di Raub, kerana sekolah sebelumnya tidak ada aliran sains. Selepas SPM sambung tingkatan 6 di SM Sains Kuantan di Jalan Gambang.


Mohon maktab, dan diterima masuk Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Postingpun di Kuantan, SK Balok. Selepas berkahwin dapatlah bertukar ke Johor di SK Ulu Tiram sehinggalah kini . Alhamdulillah.

Selasa, 1 Disember 2009

CUTI SEKOLAH YANG PANJANG

Cuti sekolah dah bermula pada 20/11/2009 yang lalu. Kini dah hampir 2 minggu cuti bermula. Minggu pertama bermula hari sabtu hingga rabu semua guru diarahkan bertugas. Saya pula hanya sempat bertugas pada hari sabtu sahaja. Hari isnin saya berkursus di Damai Desaru sehingga hari rabu. Nampaknya perjuangan belum berakhir. Masih banyak tugasan yang perlu dibereskan tahun hadapan.
Maklumat terbaru, program KIA 2M akan diganti dengan Program Linus yang merupakan singkatan Literasi dan Numerasi. Dengar namanya canggih je gitu, tapi sebenarnya kemahiran asas tulah juga. Jika KIA2M hanya memberi tumpuan kepada membaca dan menulis, tetapi Linus menitikberatkan 3M. Guru Pemulihan pula perlu mengambil murid linus seawal bulan Mac, iaitu selepas ujian saringan 1.
Semuanya lantaran KIA 2M dikatakan tidak dapat mengekang jumlah murid yang tidak menguasai 2M. Tambahan pula selari dengan NKRA pendidikan yang mensasarkan murid sekolah rendah yang normal perlu menguasai kemahiran asas selepas berada 3 tahun
di Tahap 1.
Sememangnya murid Tahun 1 adalah penentu pencapaian sekolah. Dari tahun 1 kita dah dapat bayangkan pencapaian mereka 6 tahun akan datang. Jika baik murid di tahun satu, maka akan baiklah pencapaian sekolah nanti. Jika ramai yang tidak menguasai 3M di tahun 1, sekolah tersebut akan bermasalah di kemudian hari. Bila mereka naik ke Tahun 2 dan 3, guru pemulihanpun belum tentu dapat memulihkan KESEMUA mereka. Inilah cabarannya. Memastikan mereka menguasai 3M sebelum melangkah ke Tahap 2.
Guru di Tahun 1 hendaklah dilantik dari guru yang berpengalaman. Guru baru pun boleh juga, tetapi kenalah bersungguh-sungguh membentuk murid-murid 'rebung' ini. Belajarlah dari mereka yang berpengalaman. Kecemerlangan sekolah bermula di Tahun 1.
Cabaran 2010 menanti kita, guru pemulihan.