Alamak! Raya hari Ahad ke? Cepatnya. Banyak lagi perkara yang belum diuruskan ni. Baju kurung anak belum siap, kuih belum buat, rumah belum kemas...Mak oiii...Nasib baiklah hari Jumaat cuti. Boleh menjahit sepanjang malam ni. Besok boleh tidur dalam kereta masa balik kampung.
Yang penting jahit baju dulu. Rumah tak kemas tak apa. Bukan beraya kat sini pun. Balik kampung. Kuihpun boleh KIV dulu. Lepas rayapun masih boleh buat / beli kuih / import dari kampung..he..he..he. Raya tahun ni ekonomi kurang stabil sikit. Jadi, kenalah berjimat-cermat. Bonuspun takde. Bantuan ihsan lagi tak dapat.
Ada orang membelanjakan budget yang agak besar untuk hari raya. Dari segi persiapan rumah, pakaian mahupun makanan. Barang kemaspun beli setiap kali raya!!..Baju berpasang-pasang..kasutpun juga. Budget untuk makanpun besar juga. Macam-macam jenis makanan nak dimasak pada hari raya pertama. Di tempat saya (Pahang) tidak pula begitu. Keluarga saya tidak menyediakan makanan yang begitu banyak pada hari raya pertama. Kami hanya memasak rendang daging, ketupat dan lemang sahaja. Itupun untuk sarapan pagi sahaja sebelum ke masjid bersembahyang raya. Tetapi apabila saya berada di Johor, menjadi kejutan budaya bagi saya apabila kena memasak begitu banyak menu pada hari raya pertama. Lontong, ketupat, kari ayam, sambal goreng, ayam kicap. Belum lagi benda-benda lain seperti beras pulut campur kacang dan kelapa yang dibungkus dengan daun kelapa tu (saya dah lupa namanya). Mak oii.. memang pengsan saya dibuatnya.
Paling saya rindu di hari raya adalah rendang daging mak saya. Kalau balik ke Pahang setibanya di rumah itulah yang saya cari dulu. Dah belajar cara membuatnya dengan emak, tapi tak sama dengan yang emak masak. Air tangan ibulah katakan. Kuih pula, kuih karas yang emak saya buat. Sedapp....Dulu-dulu, masa zaman saya kecil, setiap kali raya emak akan buat kuih bunga cina. Kuihnya diperbuat dari campuran tepung kastard dan tepung gandum juga susu pekat. Rasa susu tulah yang menyedapkan kuih itu. Sekarang emak dah tak buat kuih tu lagi. Sekarang saya buat sendiri je kuih tu.
Sejenis kuih lagi yang saya suka ialah kuih putu kacang. Ianya diperbuat dari tepung kacang hijau yang disangai dan digaul dengan gula halus. Selepas itu dimasukkan hingga padat ke dalam acuan kayu kecil bercorak dan dijemur sehingga kering. Emak selalu menempahnya dengan jiran kami. Saya pula selalu pergi melihat beliau membuat kuih itu. Kuih ini tak perlu dibakar, cuma dijemur di tengah panas. Sekarang dah susah nak jumpa kuih ni.
Kuih bangkit juga adalah kegemaran saya. Tapi bukannya bangkit yang biasa dijual tu. Saya paling suka bangkit yang kakak saudara saya di Batu Kurau yang buat. Rasanya lemak serta tidak berapa manis dan lembut / cair apabila dimasukkan di dalam mulut. Rupanya putih gebu.
Seronoknya hari raya masa kecil dulu apabila dapat beli baju dan kasut raya baru. Sekarang melayan kerenah anak-anaklah pulak. Terlalu banyak sebenarnya kenangan di hari raya. Di lain kesempatan akan saya catatkan.
SELAMAT HARI RAYA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan